Dewan Negeri Perak Komited Perkasa Penyelidik.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berucap ketika Majlis Perasmian Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri
IPOH, 24 November 2021- Dewan Negeri Perak terus komited dalam memperkasakan penyelidik serta pegawai-pegawai khas berhubung dengan penyelidikan yang signifikan kepada hal hal dewan negeri.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, hal ini amat penting dalam membuat setiap keputusan bagi kepentingan rakyat di negeri Perak.
“Pada masa kini, Dewan Negeri Perak mempunyai 3 orang Pegawai Penyelidik di Unit Penyelidikan Dewan Negeri Perak yang menjalankan kerja penyelidikan berkaitan Dewan.
“Mereka juga turut sama menjadi sebahagian daripada sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Negeri Perak dalam memastikan kerja-kerja penyelidikan dan pelaporan dibuat dengan teliti dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri anjuran Dewan Negeri Perak dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid lagi, Dewan Negeri Perak turut mengalu-alukan penyelidikan daripada universiti awam atau swasta, badan bukan kerajaan malah badan pemikir di dalam negeri untuk turut sama menyumbang hasil penyelidikan mereka kepada Ahli Dewan Negeri dalam menjadikan institusi ini sebuah ‘informed legislative body’.
“Mungkin sudah sampai masanya badan perundangan seperti Parlimen mahu pun Dewan Negeri mengadakan satu kajian berhubung keperluan ahli-ahli Dewan Negeri mempunyai penyelidik secara khusus kepada mereka dalam membantu kerja-kerja penyelidikan yang gaji mereka boleh dibayar kerajaan.
“Idea seperti ini telah lama dipraktikkan di beberapa buah negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri telah disertai 80 peserta terdiri daripada pegawai khas YAB Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri Perak, penyelidik Dewan Negeri Perak serta perwakilan Dewan Belia Perak.
Penganjuran bengkel berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta berhubung dengan amalan terbaik penyelidikan perkhidmatan badan perundangan atau legislatif, khususnya dalam memberikan perkhidmatan kepada semua ahli Dewan.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.