Skip to main content

Perak Jayakan Projek Pembangunan Hub Daging Halal.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Antara PPPNP Bersama Risda Livestock SDN BHD (RLSB) Dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN)

IPOH, 2 Disember 2021: Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) untuk membangunkan Projek Pembangunan Hub Daging Halal.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, melalui MoU ini, RLSB dan PPN akan membekalkan lembu-lembu ternakan kepada PPPNP selaku agensi pelaksana.

“Ia merupakan langkah permulaan untuk menjayakan Projek Pembangunan Hub Daging Halal Negeri Perak yang akan dilancarkan oleh PPPNP kelak.

Projek yang bakal dilancarkan ini juga merupakan kesinambungan daripada usaha PPPNP melalui anak syarikatnya iaitu Eurofresh Sdn. Bhd untuk meneroka pasaran baru melibatkan pengedaran, pembekalan dan perniagaan berasaskan daging tempatan selain produk sejuk beku termasuk daging import” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Antara PPPNP Bersama Risda Livestock SDN BHD (RLSB) Dan Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Dato’ Sham Mat Sahat; Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Tuan Haji Yahanis Yahya dan Pengurus Operasi Risda Livestock, Encik Syed Kudri Tuan Dalam.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, inisiatif tersebut selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan.

“Selain itu juga, kita juga ingin memperkasakan industri penternakan agar ia dapat memberi manfaat kepada golongan petani dan penternak.

“Ini merupakan hasrat kerajaan negeri bagi tahun 2022 iaitu memberi keutamaan dalam menerajui sektor agro pertanian yang memfokuskan kepada empat komponen utama iaitu perluasan ladang baru, pelaburan strategik, pembangunan usahawan dan kebajikan sosial,” ujarnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.