KBS Lahirkan 10,000 Sukarelawan Belia Nasional Tahun Hadapan.

YB Menteri Belia dan Sukan bergambar bersama para penerima Anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki, Wanita dan Anugerah Khas 2021.
IPOH, 5 Disember 2021: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melahirkan 10,000 sukarelawan menerusi inisiatif Sukarelawan Belia Nasional (BENA) mulai tahun hadapan.
YB Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisatif yang dinamakan Sukarelawan Belia Nasional (BENA) itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kebolehan di kalangan alumni atau bekas peserta program kementerian.
“Peserta akan dibimbing dan dilatih secara ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ bagi membantu usaha KBS dalam pemerkasaan komuniti di peringkat akar umbi.
“Selaku Duta Sukarelawan, peserta akan bertindak sebagai sukarelawan bagi menggerakkan kerja kesukarelawanan pasca bencana serta pengurusan acara dan sukan di peringkat komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Hadir sama YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Encik Khairul Shahril Mohamed; YBrs. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Puan Ramona Mohd Razali dan YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Wasitah Mohd Yusof.
Ujar YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu lagi, peserta akan terdiri daripada alumni program KBS dan juga mereka yang berminat untuk melibatkan diri dalam usaha untuk memperkasakan komuniti.
“Kita bantu menangani masalah kesihatan mental, masalah sosial serta membantu meningkatkan sosio-ekonomi daripada kalangan masyarakat, terutamanya golongan belia di peringkat akar umbi.
“Selain itu, inisiatif BENA turut diperkasakan dengan penubuhan Pusat Panggilan Sukarelawan sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan khidmat sukarelawan secara sistematik,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki, Wanita dan Anugerah Khas 2021.
Fauzi Acho dari Sabah menerima Anugerah Ikon Sukarelawan Lelaki dan Puteri Seri Mawar Megat Abdul Rahmani dari Kedah menerima anugerah Sukarelawan Wanita 2021 manakala Nermesh Singh a/l Gurbish Singh dari Perak menerima Anugerah Khas Sukarelawan 2021.
Sumber : Korporat, SUK Perak.