Skip to main content

Pelan Perak Sejahtera 2030 Dijangka Siap Pada Februari 2022.

YAB Menteri Besar Perak ketika menjawab soalan lisan semasa sidang DUN Negeri Perak

IPOH, 13 Disember 2021 : Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 29 Mac 2021 lalu dijangka siap pada Februari 2022.

YAB Menteri Besar Perak, Dato” Seri Saarani Mohamad berkata, pelan pembangunan itu dibangunkan berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai.

“ Fasa pertama telah dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan sebanyak dua siri bengkel telah dianjurkan dan pada fasa ini di mana visi, misi, teras strategik dan nilai bersama telah dimuktamadkan.

“Fasa kedua pula telah dilaksanakan dengan melibatkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Ujar YAB Dato’Seri Saarani Mohamad lagi, inisiatif strategik, sub-inisiatif strategik dan pelan tindakan mengikut portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah dihasilkan pada fasa ini.

“Proses pemetaan dan penjajaran pelan-pelan pembangunan sedia ada dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 turut dijalankan.

“Kini, penyediaan Pelan Perak Sejahtera 2030 berada dalam fasa ketiga iaitu melibatkan libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah.

“Fasa ini melibatkan pembangunan inisiatif strategik dan program serta pelan tindakan mengikut daerah pentadbiran di Negeri Perak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada fasa keempat pula  ia akan melibatkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.

Jelas beliau, pelan itu berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.

“Oleh itu, pelan ini dibangunkan dengan menggarap pelan-pelan sedia ada termasuklah Rancangan Pembangunan 5 tahun Malaysia (RMK), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan lain-lain rancangan yang relevan.

“Justeru, pelan ini akan menggariskan strategi-strategi yang berpandukan kelebihan dan potensi Negeri agar dapat menyokong pengembangan industri tradisional, ekonomi digital, jaminan keselamatan makanan, pelancongan serta memacu kemunculan industri baru atau emerging industry seterusnya menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, selain mengambil kira pelan serta rancangan pembangunan sedia ada, Pelan Perak Sejahtera 2030 juga mengambil kira situasi semasa seperti pandemik COVID-19.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.