Skip to main content

Perak Rekod Kutipan e-Waste Tertinggi : 28 Disember 2021.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau ketika melakukan gimik Majlis Penutupan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak.

IPOH, 28 Disember 2021- Negeri Perak berjaya merekodkan kutipan tertinggi dalam negara dengan mengumpul 256 metrik tan sisa barangan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tahun ini.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri,  Encik Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 44 tan metrik yang dicatatkan tahun lalu.

“Pada tahun lepas negeri Perak berada di tempat ketiga disebabkan tiada penyelarasan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun, kejayaan ini hasil usaha agresif yang dijalankan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), PBT, pihak swasta dan anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 Peringkat Negeri Perak di Dewan Hotel Excelsior, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Encik Rosli Zul.

Ujar YB Encik Mohd Akmal Kamarudin lagi, kerjasama strategik bersama pemain industri itu akan diteruskan menerusi HASN 2022 dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilantik sebagai tuan rumah bagi peringkat negeri.

"Program HASN ini sangat bermanfaat dan akan diteruskan berikutan ada peningkatan sangat baik daripada kilang-kilang yang mana mereka telah mula menaik taraf teknologi mereka satu persatu.

"Selain itu, program ini turut melibatkan kempen kesedaran di peringkat sekolah yang bertujuan mendidik pelajar bahawa betapa pentingnya cintakan alam sekitar," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, HASN 2021 telah melabuhkan tirai dengan jayanya dengan menerima sebanyak 403 penyertaan menerusi program yang dianjurkan sepanjang tahun.

Antara pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan sepanjang program berlangsung bagi tahun 2021 adalah Pertandingan Kuiz Online Alam Sekitar, Anugerah Ikon Muda Alam Sekitar, Pertandingan 'E-Waste', Pertandingan Menulis Karya Puisi dan Pantun Alam Sekitar, Pertandingan Fotografi Alam Sekitar  dan banyak lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.