Skip to main content

RM16.35 Juta Naik Taraf Jalan Tambun, Kerjasama Kerajaan Negeri Dan Swasta.

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Ahli Parlimen Tambun(kanan) dan YBhg. Datuk Bandar Ipoh(kiri)

IPOH, 10 JANUARI 2022- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd menjalankan usaha sama bagi projek menaik taraf Jalan Tambun  yang melibatkan kos sebanyak RM16.35 juta.

Projek ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad di Dewan Badminton Xtreme Park, Bandar Sunway, hari ini.

“Peruntukan berjumlah RM8.0 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak manakala RM8.35 juta di tanggung oleh pihak Sunway. Ia melibatkan kos pembinaan jalan, pengambilan balik tanah dan pelantikan jurutera perunding.

“Projek menaik taraf ini bermula dari simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan, sejauh kira-kira 5.2 kilometer.

“Ia melibatkan penggantian lima persimpangan lampu isyarat sedia ada kepada laluan pusingan – U secara bebas di tiga lokasi yang bersesuaian.

“Projek ini juga melibatkan skop kerja pemasangan lampu jalan jenis LED, turapan semula permukaan jalan, pemasangan fasiliti keselamatan jalan raya dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat,” jelas YAB Menteri Besar Perak.

Beliau turut berharap kolaborasi ini dapat mengurangkan pelepasan gas karbon daripada asap kenderaan apabila kesesakan lalu lintas dapat diatasi dan pergerakan kenderaan bergerak dengan lebih lancar.

Tambahnya, usaha ini juga dapat merancakkan lagi pertumbuhan pembangunan dan ekonomi setempat yang mapan dan lestari selari dengan hasrat MBI untuk merealisasikan agenda “Bandaraya Rendah Karbon 2030”.

Projek naik taraf ini telah bermula pada 1 April 2021 dan dijangka siap pada September 2022.

Turut hadir YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin; YB Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu merangkap Menteri Belia dan Sukan; YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat bin Varisai Mahamad dan Pengerusi Kumpulan Sunway, YBhg. Tan Sri Dr. Jeffry Cheah.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.