Skip to main content

Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baharu 2022 YAB Menteri Besar Perak.

YAB Menteri Besar Perak sambil memegang buku Report Card 2021 bergambar bersama tetamu yang hadir

IPOH, 20 Januari 2022- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menggariskan lima fokus utama sebagai agenda penting kerajaan negeri pada tahun 2022 sempena Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2022.

Kesemua lima fokus ini merupakan kunci kepada agenda penting Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Lima fokus tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Meningkatkan Hasil Negeri

Bagi memantapkan usaha menjadikan Perak sebagai negeri mesra pelabur, beliau berhasrat untuk mengadakan Hari Bersama Pelabur sekali setiap bulan.

Beliau yakin dengan strategi yang betul, kutipan hasil melalui komitmen dan kerja keras dapat ditingkatkan. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:-

  • Menyediakan pelan menyeluruh bagi memastikan sasaran kutipan RM81 juta melalui tujuh (7) kategori hasil-hasil baru yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 dapat direalisasikan.
  • Memudahkan proses kutipan cukai termasuk memperkenalkan lebih banyak kaedah pembayaran secara digital.
  • Memperkasakan penguatkuasaan secara lebih objektif bagi mengelakkan ketirisan hasil termasuk isu-isu pemutihan terhadap pencerobohan tanah-tanah kerajaan secara haram.
  • Memperkukuhkan gerak kerja dan memantapkan tindakan berteraskan libat urus, strategi yang cekap dan mengenal pasti potensi sumber yang boleh menjana hasil negeri.
  1. Membudaya Perkhidmatan Melangkaui Kebiasaan

Pentadbiran negeri bersetuju untuk mengadakan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak pada hari Selasa minggu kedua setiap bulan mulai Februari ini.

  1. Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak diharap dapat mengukuhkan lagi pelaksanaan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Sosial di peringkat negeri dan daerah termasuk di hospital dan klinik-klnik kesihatan bagi membantu menstabilkan emosi individu yang terkesan.

  1. Memantapkan Perkhidmatan dan Infrastuktur Digital

Antara tumpuan utama Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2022 adalah pelaksanaan saluran Pembayaran Tanpa Tunai kepada rakyat selaras dengan inisiatif Kerajaan Malaysia melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL).

Sasaran utama kita ialah untuk mencapai 100% jabatan serta agensi kerajaan negeri mempunyai saluran pembayaran tanpa tunai menjelang 2023.

  1. Menangani Kesan Perubahan Iklim

Terdapat tiga perkara yang perlu diambil kira dalam mempersiapkan negeri bagi menghadapi kemungkinan bencana lebih ekstrem pada masa hadapan.

  • Mempersiapkan langkah-langkah mitigasi secara sistem amaran awal dan mobilisasi aset pengurusan bencana. Kita mungkin mempunyai sistem amaran dan aset yang mencukupi, tetapi ia perlu disusuli dengan pelan mitigasi yang tersusun.
  • Menangani isu struktur dan birokrasi yang selama ini menghalang kita daripada mencapai potensi memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam mengurus krisis.
  • Memperkuatkan sinergi dan koordinasi dalam mengurus krisis dan bencana. Dalam suasana krisis dan bencana, lapisan-lapisan dalam membuat keputusan mestilah diminimumkan seboleh mungkin kerana pada waktu-waktu genting, nyawa rakyat lebih penting daripada segalanya.

Malah, agenda ‘Perak Bumi Lestari’ yang menjadi tunjang dalam merangka pembangunan negeri perlu terus diperkukuhkan. Antara langkah yang boleh diambil bagi mencapai matlamat tersebut adalah seperti berikut:-

  • Memulihara hutan dan ekosistem daratan serta mempercepatkan restorasi hutan. Program Penghijauan Malaysia dan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok perlu dijayakan dengan penglibatan menyeluruh anggota masyarakat.
  • Memantapkan penguatkuasaan berkaitan perlindungan alam sekitar. Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa perlu diperhebatkan bagi membanteras penerokaan hutan atau pembalakan secara haram selain pemantauan menggunakan aplikasi teknologi terkini seperti sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS).
  • Memperluaskan penggunaan teknologi hijau. Kita perlu merintis jalan lebih luas bagi mewujudkan kerjasama pintar khususnya dengan pihak swasta untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau bagi menangani kesan perubahan iklim.
  • Menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal. Banyak kajian saintifik menunjukkan kelemahan dalam sistem pengurusan sisa pepejal bukan sahaja mengancam alam sekitar kerana menyebabkan pencemaran sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat, malah menjadi punca peningkatan suhu dan mitigasi perubahan iklim.

Kelima-lima teras utama tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2022 yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir, YB Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Hj Mohamed Zahir bin Abd. Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.