Skip to main content

Pembangunan ‘Canal City’ Pemangkin Identiti Batu Gajah.

YAB Menteri Besar Perak bersama tetamu yang hadir

BATU GAJAH, 26 JANUARI 2022 – Projek pembangunan ‘Canal City’ bernilai RM1.15 bilion menyaksikan pembukaan semula kegiatan ekonomi termasuk sektor pembangunan hartanah di Perak.

Pembangunan seluas 130 ekar di Spanish Gardens by the Water oleh kumpulan pemaju hartanah, Team Keris Berhad (TKB) dan Silverland Capacity Sdn Bhd yang berhadapan dengan Silverlakes Village Outlet diilhamkan dari Cordoba, Sepanyol pastinya akan memeriahkan dan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, sejak pelancaran di suku pertama tahun 2021, projek Spanish Gardens by the Water merekodkan prestasi jualan yang baik hasil sokongan dari para pembeli, institusi kewangan serta hartanah sekali gus menggambarkan potensi pembangunan lebih pesat di kawasan Batu Gajah pada tahun-tahun mendatang.

“Pembangunan baharu itu juga mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan identiti Batu Gajah sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka dengan wujudnya pusat beli-belah, variasi industri makanan dan minuman (F&B) serta pembinaan kawasan perumahan unik berhampiran kawasan tasik yang indah,” katanya ketika sidang media bersama wartawan, di sini.

Pembinaan fasa pertama gedung beli-belah, Silverlakes Village Outlet pula telah bermula sejak April 2017 di kawasan seluas 13.2 hektar dan dijangka akan beroperasi tahun ini.

Fasa pertama ini akan merangkumi pembinaan hotel bertaraf empat bintang dengan 220 bilik dan pusat konvensyen yang boleh menampung 1,200 tetamu.

Gedung beli-belah yang bakal menampilkan 150 rangkaian jenama dan antarabangsa itu juga akan mewujudkan 800 hingga 1,000 peluang pekerjaan, khususnya kepada rakyat negeri ini.

Pada masa yang sama, KTB turut menyumbang sejumlah RM100,000 kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) Darul Ridzuan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat. Sumbangan sebanyak RM50,000 adalah untuk mangsa-mangsa banjir di negeri Perak dan RM50,000 selebihnya adalah untuk program bantuan makanan asas bagi kumpulan miskin tegar di Perak.

Turut hadir YBhg. Ketua Eksekutif YBU Darul Ridzuan, Dato’ Haji Ismail bin Saffian; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MajuPerak Holdings Berhad; Encik Nizran bin Noordin;  Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Encik Hyril Azim bin Baharudin; Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif bin Ramli; Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah bin Meor Abd Malik dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat TKB, Dato’ Lee Seng Hee.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.