Pengguna Perlu Tingkat Pengetahuan Keselamatan Siber
KPDNHEP Perak menunjukkan barangan kawalan harga di pameran yang disediakan di karnival ini.
IPOH, 15 Mac 2022 – Hari Pengguna Kebangsaan yang bertemakan ‘Digitalisasi Pengguna’ fokus dalam memperkasakan pengguna agar menjadi lebih cakna terutama dalam aspek perlindungan bagi urusan seharian yang melibatkan penggunaan e-dompet serta pembelian dalam talian.
Menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Dato’ Abdul Yunus bin Jamahri berkata, pengguna kini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital khususnya dari sudut keselamatan dan perlindungan dari ancaman penipuan dan penggodam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Negeri Perak di pasar raya besar Mydin, Meru Raya, hari ini.
“Bulan Pengguna Kebangsaan disambut selama sebulan bermula pada 1 Mac 2022 sehingga 31 Mac 2022 di mana kemuncak sambutan akan diadakan pada 26 Mac 2022.
“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dengan kerjasama pihak Mydin turut menganjurkan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula 15 Mac 2022 sehingga 20 Mac 2022,” jelas beliau.
Dalam perkembangan yang lain, KPDNHEP Perak akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga barang sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
YB Dato’ Abdul Yunus bin Jamahri berkata, lebih 200 pegawai penguatkuasa dan pemantauan harga akan digerakkan ke lokasi tumpuan ramai terutamanya bazar Ramadan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan.
“Dalam hal ini semua pihak perlulah memainkan peranan sebaiknya.
“Dari aspek peniaga, kita nasihatkan agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan di pihak pengguna pula, kita minta mereka sentiasa berwaspada dengan memastikan barang-barang dijual dengan harga berpatutan,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan bin Kamarul Zaman; Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Mohd Sakhri bin Mohd Salleh dan Ketua Cawangan KPDNHEP Parit Buntar, Mat Jidin bin Hassan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.