Gunung Masoorat Tawar Pelbagai Aktiviti Lasak Pelancongan

Gunung Masoorat sebagai salah satu destinasi yang menawarkan pelbagai aktiviti lasak
IPOH, 26 Mac 2022 – DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Program Perak SADC Agrofest Masoorat Heritage Park@Ipoh.
DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah turut berkenan berangkat bersama baginda.
Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin@ Md Daud mewakili YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Perak, Encik Haji Yahanis bin Yahya berkata, program ini bertujuan untuk mempromosi Gunung Masoorat sebagai salah satu destinasi yang menawarkan pelbagai aktiviti lasak seperti eksplorasi gua, memanjat batu gunung, abseiling dan trekking rocktrail khusus kepada para pengunjung.
“Gunung ini mempunyai ketinggian 162 meter dan berkeluasan 18 ekar. Ia juga diiktiraf antara 22 lokasi geotapak di Geopark Lembah Kinta menjadikannya sebagai salah satu produk eko-pelancongan utama.
“Selain itu, di sini terdapat spesies flora dan fauna yang amat jarang ditemui seperti horse-tail creeper, whitespot giant arum dan labah-labah trap door serta fosil dan lukisan pra-sejarah yang berusia ribuan tahun,” jelas beliau ketika berucap di majlis itu.
Tambahnya lagi, lokasi ini berpotensi dijadikan sebagai pusat konservasi atau penyelidikan khas bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan gua batu kapur di kawasan berkenaan.
“Cadangan ini bukan sahaja selaras dengan agenda Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh menjelang 2035 bahkan dapat melindungi khazanah berkenaan,” katanya lagi.
Program selama empat hari bermula 24 Mac 2022 sehingga 27 Mac 2022 ini turut layak direkodkan Malaysia Book of Record sebagai konsert pertama yang dilakukan di bukit batu kapur.
Kemuncak acara malam tadi adalah persembahan pentas Limestone Music Preview yang menampilkan Papa Rock, Ramli Sarip dengan iringan pemain gitar tersohor tanah air, Man Kidal.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin yang juga merangkap sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC; YBhg. Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak, Dato’ Ir Ahmad Zukni Bin Ahmad Khalil; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti Binti Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Puan Nurmalis Binti Musa dan Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak, Encik Shah Redza Bin Hussein.
Sumber : Korporat, SUK Perak.