Skip to main content

Bazar Niaga Ramadan SUK Perak  Julung Kali Diadakan Di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YAB Menteri Besar Perak merasmikan Bazar Niaga Ramadan @Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 6 April 2022- Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Bazar Niaga Ramadan yang diadakan di ruangan parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan mulai 6 April 2022 sehingga 29 April 2022.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, Kerajaan Negeri Perak mengambil inisiatif itu bagi memberi peluang lebih ramai peniaga untuk menjalankan perniagaan di bulan Ramadan.

“Penganjuran Bazar Niaga Ramadan ini dilaksanakan setelah mengambil berat isu-isu berbangkit berikutan kekangan jumlah had peniaga yang dibenarkan beroperasi di atas tapak sedia ada susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Diharapkan ruang dan peluang yang telah diberikan kepada para peniaga atau usahawan ini mampu merancakkan pusingan ekonomi serta meningkatkan hasil jualan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan di ruang parkir Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, penganjuran ini juga mendapat kerjasama daripada Maybank dan LokeinSTORE, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memantapkan pendigitalan usahawan negeri Perak serta pelaksanaan pembayaran tanpa tunai (cashless).

"Pihak Maybank telah menyediakan platform pembayaran QR dan kemudahan pembukaan akaun perniagaan kepada peniaga terlibat dengan deposit serendah RM100.

"Selain itu, pihak LokeinSTORE turut menyediakan teknologi sistem e-Commerce (O2O) Lokein yang dilengkapi dengan sistem pembayaran QR, Online Marketing Tools dan pelbagai lagi kemudahan berkaitan database pelanggan," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, penganjuran bazar oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu merupakan usaha sama Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP) dan akan beroperasi mulai jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad.

Seramai 32 orang usahawan makanan tempatan akan membuka gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman serta aneka kuih muih untuk juadah berbuka puasa.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.