Skip to main content

YAB Perdana Menteri Lancar Automative Hi-Tech Valley

YAB Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Automotive Hi-Tech Valley (AHTV)

TANJUNG MALIM, 12 April 2022- Pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) mampu menjadikan negara Malaysia sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen, bukan sahaja ke pasaran ASEAN, malah ke pasaran yang lebih luas lagi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan ini dilihat mampu menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

“Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya tidak mustahil satu hari nanti Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Proton City, di sini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Raja Zafrul Tengku Abdul Aziz; YB Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Wanl Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Ujar YAB Dato’ Sri Ismail Sabri lagi, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

“AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan universiti penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.

“Secara tidak langsung pembangunan AHTV dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

Diharapkan dengan pelancaran AHTV ini mampu menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.