Skip to main content

Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Perak Bersama Pegawai Dan Kakitangan Jabatan Negeri/ Persekutuan Tahun 2022.

YAB Menteri Besar Perak menyatuni penjawat awam ketika majlis berbuka puasa, malam ini.

IPOH, 21 April 2022 – Dianggarkan seramai 600 orang hadir ke Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Perak Bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Negeri/ Persekutuan Tahun 2022 yang berlangsung di Laman Seri Ridzuan, malam ini.

Majlis yang diadakan sekitar jam 6.30 petang itu dimulakan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang diiringi oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurut Dato’ Seri Saarani Mohamad, beliau bersyukur raya tahun ini dapat diraikan dengan suasana meriah tetapi masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Alhamdulillah di fasa endemik, kita akan dapat beraya dengan lebih meriah daripada tahun-tahun lepas ekoran ancaman COVID-19. Kali ini, kita dapat pulang beraya ke kampung dan bertemu dengan sanak-saudara setelah sekian lama tidak berjumpa.

“Namun, saya ingin mengingatkan diri sendiri dan semua, ini bukanlah bermakna kita sudah bebas daripada ancaman COVID-19, haruslah kita ingat wabak ini masih berlegar-legar di sekeliling kita.

“Kita mesti berwaspada dan mengambil langkah ketat dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti sentiasa mencuci atau sanitasi tangan serta menjaga jarak,” jelas beliau dalam ucapannya.

Majlis tersebut turut diberkati dengan alunan tahlil dan doa oleh Muazzin Masjid Negeri, Tuan Haji Yusof Ahmad.

Seterusnya, dalam majlis sama, para tetamu turut bersama-sama solat Maghrib, Isya’ dan Tarawih berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, SF Haji Abd Farid Haji Salleh.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan; Timbalan Mufti Negeri, YBhg. Dato’ Zamri Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak Darul Ridzuan (MAIPk), Tuan Shahrul Azam Shaari.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.