Perak Fokus Persiapan SUKMA, Insentif Lumayan Menanti Pemenang Pingat.

YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia ketika menyampaikan Surat Lantikan Ketua Kontinjen Negeri Perak pada saingan SUKMA 2022 Kuala Lumpur nanti.
IPOH, 20 April 2022- Kontinjen Perak akan memberikan fokus sepenuhnya bagi persiapan kem latihan menjelang aksi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur pada 28 September hingga 8 Oktober nanti.
YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau yakin negeri Perak mampu memberikan kejutan bagi menghadapi SUKMA 2022 Kuala Lumpur kerana komitmen yang diberikan oleh para atlet cukup baik.
“Pada saya, Kontinjen Perak merupakan kontinjen yang paling komited kerana walaupun berada di dalam Bulan Ramadan, para atlet masih lagi memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mempersiapkan diri mereka.
“Selain tumpuan dalam latihan, pelbagai aspek juga telah ditekankan kepada mereka bagi membantu persiapan antaranya dari segi disiplin diri, pemakanan sihat, gaya hidup dan banyak lagi. Aspek ini dilihat sebagai satu nilai tambahan yang perlu dipatuhi agar atlet berada di prestasi tertinggi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih Bersama Atlet SUKMA Negeri Perak di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, di sini.
Hadir sama, YBrs. Pengarah MSN Perak, Encik Mazlan Haji Mohamad.
Ujar YB Encik Khairul Shahril Mohamed lagi, bagi pemenang pingat pada SUKMA 2022 nanti, mereka bakal menerima insentif lumayan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang diberikan.
“Kerajaan negeri memang telah mengkhususkan insentif bagi pencapaian atlet-atlet yang telah berjaya mengharumkan nama negeri dengan kadar yang ditetapkan dan ia merupakan komitmen kita bagi menghargai sumbangan atlet kita.
“Seperti contoh, bagi kategori individu, pemenang pingat emas bakal menerima insentif sebanyak RM 5,000, pingat perak akan menerima RM 3,000 dan pingat gangsa sebanyak RM 1,500,” ujarnya.
Pada majlis itu juga, YB Encik Khairul Shahril Mohamed berkesempatan untuk menyampaikan Surat Lantikan Ketua Kontinjen dan Timbalan Ketua Kontinjen Negeri Perak bagi SUKMA 2022.
Bagi Ketua Kontinjen Negeri Perak, mantan Pengarah MSN Perak, Encik Johari Sham Ahmad Shohor Affendi telah dilantik bagi mengemudi kontinjen tersebut dan akan dibantu oleh Timbalan Ketua Kontinjen, Encik Zamanhuri Yaakob.
Sumber : Korporat, SUK Perak.