Skip to main content

Kunjungan Hormat Delegasi IDFR, Kementerian Luar Negeri Ke SUK Perak.

SUK PERAK telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi IDFR, Kementerian Luar Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 13 Mei 2022- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Lawatan ini melibatkan seramai 21 orang peserta kursus dan 10 orang pegawai pengiring.

Kunjungan itu telah disambut oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun.

Hadir sama, YBrs. Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi (CEC), Puan Norli Muadza Mohd Noor.

Menurut YB Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau amat berterima kasih kerana IDFR telah memilih SUK Perak untuk menyempurnakan tugasan matlamat program Diploma in Diplomacy (DiD) bagi sesi 1/2022 bermula pada 14 Februari hingga 24 Jun 2022.

“Berbekalkan pengalaman di dalam karier perkhidmatan saya, saya sangat mengesyorkan para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bakal bertugas di luar negara supaya dapat memahami dan menyelami keunikan serta keindahan bagi setiap negeri agar dapat menjadi duta kecil untuk Malaysia,” ujarnya semasa memberikan ucapan alu-aluan.

Kunjung hormat ini diteruskan lagi dengan sesi pembentangan dan soal jawab oleh YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun.

Fokus utama bagi sesi pembentangan ini adalah mempromosi dan mengetengahkan budaya dan tradisi negeri Perak di mata dunia.

Kunjung hormat ini diakhiri dengan pertukaran cenderamata oleh kedua-dua belah pihak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.