Skip to main content

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Menerima Sumbangan RM140,000 Dari Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Perak turut menerima cenderamata daripada Yang Dipertua Negeri PPKM Perak

IPOH, 28 Mei 2022 - Kerajaan negeri memberi sumbangan RM140,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad memaklumkan perkara itu dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agong Perwakilan ke-35 Tahun 2022 PPKM di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Kita telah bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada PPKM untuk tahun ini. Tetapi, oleh kerana ada 9 cawangan di Perak, jadi kita beri lagi setiap cawangan RM10,000. Maka, keseluruhannya adalah RM140,000.

“Mudah-mudahan ia dapat digunakan untuk aktiviti beriadah dan penganjuran program-program yang bermanfaat untuk mengisi usia persaraan ini,” katanya semasa berucap di majlis itu.

Beliau juga yakin bahawa ahli-ahli persatuan ini telah sedaya upaya mencurahkan bakti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sepanjang berkhidmat dalam kerajaan.

Majlis yang bermula kira-kira jam 3.00 petang tadi turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun; Yang Dipertua Negeri PPKM Perak, Dato’ Haji Mohamed Hamzah dan Setiausaha Kehormat PPKM Perak, Hajah Nooriah Ibrahim.

Dato’ Haji Mohamed Hamzah semasa berucap turut berkongsi sedikit sebanyak mengenai persatuan ini kepada para tetamu yang hadir.

“Persatuan ini telah ditubuhkan sejak 50 tahun yang lalu. Ia terdiri daripada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah-daerah. Di Perak, kami mempunyai 9 cawangan. Bagi daerah Muallim dan Batang Padang, ia bergabung menjadi satu cawangan. Begitu juga untuk daerah Kinta dan Kampar serta Hilir Perak dan Bagan Datuk.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa prihatin terhadap persatuan ini dan kami akan terus berusaha menabur bakti kepada masyarakat,” katanya di sini.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.