Lawatan Kerja Jawatankuasa EKSA Daripada SUK Penang Ke SUK Perak .

Para tetamu bergambar bersama.
IPOH, 26 Mei 2022- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak telah menerima lawatan kerja daripada 40 orang ahli Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), SUK Pulau Pinang di Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa EKSA SUK Penang, Puan Nur 'Aishah Md Norodin berkata, pentadbirannya kini sedang dalam fasa peralihan daripada amalan 5S ke EKSA bagi transformasi tadbir urus perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
“Peralihan ini adalah sebagai penambahbaikan kepada ekosistem persekitaran di SUK Penang dan ia merupakan cabaran baru kepada kami. Lawatan ini adalah peluang untuk kami berkongsi ilmu dan buah fikiran daripada SUK Perak yang telah berpengalaman mengamalkan EKSA sejak 2017.
“Antara fokus utama amalan EKSA bagi pentadbiran SUK Penang adalah untuk menghasilkan ruang kerja yang kondusif, pengurusan stor yang cekap dan efektif, pembudayaan kreatif dan inovatif dalam operasi seharian serta transformasi pendigitalan yang membawa kepada amalan hijau (Go Green),” jelasnya.
Turut mengiringi lawatan itu adalah YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Puan Anita Amri selaku Penyelaras EKSA SUK Perak.
YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kedatangan Jawatankuasa EKSA Penang ke SUK Perak dan berharap ia dapat mengeratkan hubungan di antara dua pejabat kerajaan negeri supaya bersama-sama menambah ilmu untuk melancarkan sistem organisasi pentadbiran.
“Amalan EKSA ini bukanlah satu perkara yang mudah, ia perlu komitmen dan kerjasama yang tinggi daripada semua bahagian di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak di sini,” tambahnya lagi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.