Skip to main content

Hari Bertemu Pelanggan Medan Aduan Rakyat, 143 Aduan Selesai

Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh

IPOH, 7 Jun 2022- Kerajaan negeri terus memberikan fokus terhadap aduan rakyat dalam mencari jalan penyelesaian melalui Hari Bertemu Pelanggan Siri Keempat yang telah berlangsung hari ini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan rekod, sehingga kini seramai 1,285 orang pelanggan telah hadir ke program ini dan sebanyak 143 aduan telah diselesaikan serta diambil tindakan selanjutnya.

“Setakat tiga siri program yang telah dilaksanakan, terdapat tiga jabatan dan agensi yang menerima aduan tertinggi iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak.

“Antara masalah dan aduan utama yang diterima oleh MBI adalah mengenai isu berkaitan pengurusan sampah domestik, anjing liar dan jalan berlubang manakala bagi PTG Negeri Perak, peratus penerimaan aduan dan permohonan tertinggi adalah berkaitan pelupusan dan pembangunan tanah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan Siri Keempat, di Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin serta YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, bagi aduan yang diterima oleh JPS Negeri Perak adalah masalah berkaitan banjir iaitu sungai dan parit yang tidak diselenggara sehingga banjir, hakisan tebing kerana hujan lebat dan juga permohonan melebar serta meninggikan ban untuk mengelak daripada kejadian banjir.

“Sehingga hari ini, kita telah menerima aduan yang sama mengenai hal-hal berkaitan, dan pada hari ini seramai 84 orang pengunjung telah hadir bagi meluahkan permasalahan mereka.

“Sebanyak 84 aduan telah diterima dan kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan permasalahan mereka dengan sebaik mungkin akan tetapi setiap aduan tersebut ada yang mampu kita selesaikan terus dan ada yang perlu mengambil masa,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Hari Bertemu Pelanggan Siri Keempat telah berlangsung dengan jayanya dengan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang merangkumi 108 kaunter khidmat pelanggan, 23 reruai pameran serta perkhidmatan kaunter bergerak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.