Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Akan Diadakan Di Perak.

Para tetamu yang hadir bergambar bersama
PASIR SALAK, 7 Jun 2022- YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) bilangan 6/2022 di Pejabat Daerah dan Tanah Kampong Gajah.
Mesyuarat ini bertujuan untuk merancang dan merangka atur kerja bagi program JAKM yang dijadualkan berlangsung pada 1 Julai 2022 sehingga 3 Julai 2022 ini.
“Bagi setiap siri jelajah, kita inginkan kelainan dari segi pengisian program. Ini termasuk pengisian dari segi sosial, ekonomi, keselamatan dan perundangan. Dari segi persiapan juga adalah sangat penting kerana mengikut pengalaman yang lalu, program ini mengambil masa lebih 10 hari untuk kita bersedia.
“Saya menyeru kepada semua untuk menggunakan masa ini dengan sebaik mungkin dan kita perlukan pandangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memastikan program ini mendapat kejayaan.
“Kita berharap siri di Perak ini akan jadi lebih baik daripada siri-siri sebelum ini,” jelas YBhg. Ketua Setiausaha Negara.
Menurutnya, siri yang telah diadakan di negeri Sabah dan Terengganu mencapai matlamat yang diharapkan dan jumlah pengunjung juga semakin meningkat di setiap siri.
“Ini menunjukkan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia.
“Menerusi penjelahan ini, kita lihat rakyat mahu perkhidmatan kerajaan secara terus dan langsung kepada mereka. Itu merupakan satu bentuk aspirasi yang perlu diambil natijah.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria; YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), JPM, Datuk Mohammad Ismail; YBrs. Pengarah Eksekutif SEPADU, Puan Wan Azilawati Wan Mahmood dan YB Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman; YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.