Skip to main content

Program Mesra Julung Kali Diadakan Khas Bagi Golongan Wanita

Para tetamu bergambar bersama

IPOH, 14 Jun 2022- Program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (MESRA) julung kali diadakan khas bagi golongan wanita yang mempunyai peranan penting untuk mencorakkan masa hadapan.

YBhg. Datin Seri Aezer Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak telah merasmikan Majlis Penutup Executive Talk ‘Wanita Inspirasi Keluarga sempena Karnival MESRA KAWAN Wanita Perak pada tahun 2022’ di Laman Seri Ridzuan, petang tadi.

“Kata-kata hikmah seperti ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’ dan ibu adalah sekolah’ menunjukkan betapa besarnya peranan dan pengaruh seorang wanita dalam masyarakat kita.

“Sebagai wanita, kita perlu menjadi inspirasi dan idola kepada keluarga kita yang akan mencorakkan pemimpin masa hadapan untuk negara ini,” jelasnya semasa memberi ucapan di majlis itu.

Terdahulu, majlis itu diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah terkenal, YBhg. Dato’ Dr Mashitah Ibrahim.

Kemudiannya, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad turut bersama mengadakan sesi forum bersama para hadirin mengenai pentingnya peranan wanita untuk membangunkan setiap dasar yang dilancarkan di negeri Perak.

”Di hadapan saya ini berkumpulnya wanita-wanita yang bertungkus-lumus sebagai seorang isteri, ibu serta bekerjaya yang membangunkan modal insan seterusnya bekerjasama untuk mencapai matlamat dasar di negeri ini. Tanpa wanita, saya tidak dapat melakukan tugas ini sendirian,” katanya ketika sesi forum itu.

Sebelum mengakhiri karnival tersebut, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menyampaikan sumbangan kepada persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa membantu dan menyokong golongan wanita.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin; YBhg. Datin Aznee Abu Samah, isteri kepada Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Srihartini Mohamed Shamsudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.