Skip to main content

Pelan Perak Sejahtera 2030 Tumpu Kepada Enam Agenda Aspirasi Rakyat

YAB Menteri Besar Perak bergambar sambil memegang buku Ringkasan Eksekutif Pelan Perak Sejahtera 2030

IPOH, 15 Jun 2022- Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan enam agenda yang mencerminkan aspirasi rakyat dari segi kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan dengan misi ‘memacu pembangunan sosiekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik’.

Majlis Pelancaran Pelan Perak Sejahtera 2030 telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Hotel Kinta Riverfront, petang tadi.

Menurut YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, agenda pertama adalah jaminan sekuriti makanan. Agenda ini memberi tumpuan kepada bidang pertanian bagi pengeluaran hasil makanan yang berskala besar.

Agenda kedua pula adalah ekonomi digital. Beliau berkata, potensi perniagaan menggunakan teknologi internet di Malaysia adalah sebanyak 31 billion USD pada tahun 2025. Perak memeta perancangan untuk memantapkan infrastruktur digital bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital, selain memacu inovasi dan adaptasi teknologi.

Tambahnya lagi, agenda ketiga dan keempat adalah pembuatan keputusan berpacukan data dan koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

“Analisa data raya melibatkan sistem integrasi data dan analisis daripada jabatan serta agensi-agensi lain akan diperkukuh. Ini penting untuk mewujudkan kolaborasi antara agensi dalam perkongsian maklumat dan keputusan.

“Perak juga akan menjadi hab pendidikan teknikal di lima daerah iaitu Perak Tengah, Kinta, Manjung, Larut Matang dan Selama serta Kuala Kangsar,” jelasnya mengenai dua agenda tersebut.

Seterusnya adalah perlombongan lestari yang turut menggariskan komitmen kerajaan negeri mengamalkan perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan melalui pendekatan baik pulih bekas tapak perlombongan setelah perlombongan tamat.

Yang terakhir adalah tadbir urus projek berkepentingan negeri. Beliau mengulas lanjut, ekonomi yang berkelangsungan mesti didorong oleh prinsip ketelusan dan kecekapan tadbir urus.

“Penilaian dan penyelarasan projek harus melalui ketelitian yang wajar bagi memastikan projek pembangunan negeri dianugerahkan kepada yang berkelayakan sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.,” katanya semasa berucap di majlis tersebut.

Hadir sama, YBhg. Datin Seri Aezer Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak; Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Maisarah Ahmad serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.