Program Gotong-Royong Ibadah Korban Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Warga Pejabat SUK Perak ketika melakukan kerja-kerja melapah
IPOH, 13 Julai 2022- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak melalui Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) telah mengadakan Program Gotong-Royong Ibadah Korban bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Kira-kira hampir 100 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan kakitangan dari setiap bahagian di Pejabat SUK Perak bergotong royong bagi menjayakan program tersebut yang bermula seawal jam 8.30 pagi.
Pada tahun ini, sebanyak dua ekor lembu telah dikorbankan dan proses penyembelihan telah dilakukan di Rumah Sembelihan Ipoh terlebih dahulu sebelum dibawa ke parkir bas, Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi proses seterusnya.
Terdahulu, warga Pejabat SUK Perak telah dibahagikan mengikut pasukan dengan 10 orang daripada setiap bahagian bagi melakukan kerja-kerja melapah, membungkus, memasak, menghidang dan juga memastikan kebersihan tempat dijaga.
Selepas selesai kerja-kerja yang dilakukan, daging korban tersebut telah diagihkan kepada warga golongan sasar dan para petugas.
Hadir sama bagi memeriahkan majlis, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.