Skip to main content

Perak Lancar Aplikasi Talent Perak, Platform Peluang Pekerjaan.

YAB Menteri Besar Perak ketika melakukan gimik pelancaran.

IPOH, 17 September 2022- Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), telah melancarkan aplikasi Talent Perak yang merupakan platform bagi warga negeri ini mencari peluang pekerjaan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, aplikasi tersebut kini boleh dimuat turun oleh pengguna di telefon pintar melalui Google Play Store.

“Melalui aplikasi tersebut, carian jawatan kosong boleh dibuat mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan lokasi pengguna.

Talent Perak kini dalam peringkat versi Beta dan PASAK akan mendapatkan input dan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama dan Majlis Pelancaran Aplikasi Talent Perak di Stadium Indera Mulia di sini.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Asli, Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun dan YBrs. Pengarah PASAK, Tuan Haji Mohd Misbahul Munir Masduki.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, aplikasi tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan serta mempersiapkan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri.

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu solusi bagi memastikan kebolehpasaran graduan di negeri Perak ini sentiasa dipertingkatkan.

“Ini selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sedang giat dalam membuka kawasan-kawasan industri baharu di negeri ini selain peningkatan permintaan daripada syarikat-syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkesempatan untuk menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara PASAK, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pelaksanaan program-program pembangunan belia di negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Wednesday 28 May 2025, 07:21:42.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.