Skip to main content

DYMM Tuanku Zara Salim Berkenan Rasmi Pusat Jagaan Harian Pesakit Demensia.

DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan bangunan Pusat Jagaan Harian BebeLEC

IPOH, 21 September 2022- DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan bangunan Pusat Jagaan Harian BebeLEC khusus untuk pesakit demensia seperti Alzheimer di Jalan Lang, Padang Tembak di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan melancarkan buku panduan ringkas berkaitan demensia bertajuk ‘Adakah Sifat Pelupa Sesuatu Yang Normal?’.

Di majlis tersebut, baginda diiringi oleh Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak, YBhg. Datin Seri Aezer Zubin untuk menandatangani plak sebelum melawat pusat berkenaan.

Hadir sama, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi Pertubuhan Demensia Perak, Profesor Dr. Esther Ebenezer.

Menurut Profesor Dr. Esther Ebenezer, BebeLEC mula beroperasi pada Julai tahun lepas dan ini merupakan pusat demensia pertama dalam negara yang mempunyai taman terapeutik dan bilik rangsangan kognitif hutan maya.

Selain terapi muzik, pusat berkenaan menyediakan refleksologi, penjagaan kecantikan, salun serta gimnasium bagi menggalakkan kesihatan fizikal dan mental buat penghuni berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit itu.

Kini, pusat ini mempunyai seramai 20 pesakit demensia berusia antara 60 hingga 93 tahun dengan dijaga oleh beberapa sukarelawan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Tambahnya lagi, terdapat 126,000 pesakit demensia yang direkodkan pada 2020 dan penyakit itu boleh dihadapi oleh individu yang berusia seawal 50-an.

“Penting untuk mereka yang mempunyai simptom awal mendapatkan diagnosis yang tepat bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan untuk menangani gejala dan mengekalkan kualiti hidup.

“Penyakit Alzheimer ialah penyakit neurodegeneratif, atau penyusutan sel saraf otak yang berlaku secara berperingkat dan progresif yang merupakan punca utama demensia, iaitu pelbagai gejala atau sindrom yang timbul disebabkan oleh kemerosotan fungsi otak,” katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.