Skip to main content

HSN 2022 Peringkat Negeri Perak Disambut Meriah.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi ketika melakukan gimik pelancaran.

IPOH, 8 Oktober 2022- Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN 2022) Peringkat Negeri Perak telah kembali meriah dengan penyertaan ribuan masyarakat melalui pelbagai acara yang dianjurkan secara fizikal.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin berkata, pada hari ini pelbagai latar belakang masyarakat telah bersama-sama meraikan sambutan HSN 2022 Peringkat Negeri Perak.

“Kita dapat lihat golongan wanita, kanak-kanak, tua, muda,orang kurang upaya (OKU) serta atlet-atlet negeri Perak turut hadir bersama bagi memberi sokongan untuk sambutan kali ini.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, semangat inilah yang kita mahukan kearah pembentukan sebuah ‘Keluarga Malaysia’ yang sihat dan aktif,” katanya.

Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2022 (HSN 2022) Peringkat Negeri Perak di Taman Polo, di sini.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta YBrs. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Encik Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

Ujar Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin lagi, suasana seperti ini mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang menjadi sebahagian daripada agenda nasional.

“Sambutan Hari Sukan Negara merupakan salah satu usaha ke arah mendokong Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang selaras dengan matlamat untuk menjadikan rakyat sihat sejahtera melalui pembudayaan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menjadikan kesihatan sebagai keutamaan.

“Selain itu, hasrat tersebut juga selari dengan agenda yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, yang mencerminkan aspirasi rakyat dari segi kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, sambutan HSN 2022 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober ini menyasarkan keterlibatan seramai 25,000 orang dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya, Mega Aerobic Challenge, HSN Fun Walk, HSN Fun Ride, Karnival OKU Aktif dan banyak lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.