Skip to main content

Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 7 Tahun 2022 Diadakan Di Daerah Kerian.

YAB Dato' Seri Saarani Mohamad berkesempatan melawat usahawan-usahawan kecil yang berniaga di program tersebut.

SELINSING, 11 Oktober 2022- Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 7 Tahun 2022 buat julung kalinya diadakan di daerah Kerian untuk memudahkan kerajaan negeri mendekati rakyat.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, pihaknya ingin memulakan langkah baru dengan memilih Selinsing, Kerian untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berjumpa dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

“Sambutan kali ini amat menggalakkan kerana walaupun kita buat di kawasan dua parlimen iaitu parlimen Parit Buntar dan parlimen Bagan Serai, tetapi, saya lihat ramai juga yang datang dari Taiping, Parit dan sebagainya.

“Ini adalah bertepatan dengan konsep kita iaitu rakyat dapat berurusan secara langsung dengan semua barisan kepimpinan kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di perkarangan Sekolah Kebangsaan Dato’ Alaudin, Selinsing, pagi ini.

Tambahnya, sebanyak 66 aduan telah diterima hari ini menjadikan jumlah aduan keseluruhan siri adalah 939 aduan dan lebih 70 peratus aduan tersebut telah diselesaikan dan diambil tindakan lanjut.

“Program kali ini melibatkan sebanyak 112 jabatan dan agensi kerajaan yang merangkumi 82 kaunter khidmat pelanggan, 12 reruai pameran serta empat perkhidmatan kaunter bergerak.

“Malah, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP) turut bersama-sama menjayakan Karnival STEP dengan melibatkan usahawan-usahawan tempatan di daerah ini,” jelasnya.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut melancarkan Program Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) di program itu.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; Pegawai Daerah Kerian, Encik Mohd Sabli Bakri serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.