Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2022.

Baginda bergambar bersama para pelajar SJK (T) Gandhi Memorial, Kuala Kangsar yang mempersembahkan Tarian Kolattam.

KUALA KANGSAR, 30 Oktober 2022 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2022 di Dataran Pavilion, pagi ini.

Turut berkenan berangkat adalah puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya dan adinda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Larian turut disertai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Mohd Yusri Haji Hassan Basri dan YB Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Acara larian yang dianjurkan bersempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ke-66 yang akan disambut pada 4 November ini, menyaksikan penyertaan hampir 10,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sekitar jam 6.45 pagi, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyempurnakan pelepasan peserta larian membabitkan kategori 15 kilometer (km) yang disertai oleh 5,289 orang peserta dan 3,124 orang peserta larian bagi 10km pada jam kira-kira 7.10 pagi.

Kemudiannya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya berkenan menyertai acara larian bagi kategori tetamu kehormat (VVIP) yang membabitkan jarak 2.5km diiringi tetamu kehormat yang lain.

Acara pelepasan kategori tetamu kehormat yang disertai 350 orang itu disempurnakan oleh adinda DYMM Paduka Seri Sultan Perak, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia.

Pelbagai acara persembahan diadakan di sepanjang laluan larian antaranya persembahan demonstrasi dinamik dan keupayaan Tiga Cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan aktiviti sabotaj dan menahan tebusan di Laman Budaya oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Markas 2 Bridged Ipoh dan Akademi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ipoh.

Seterusnya, acara larian diserikan dengan persembahan oleh kaum Melayu, Cina dan India bagi menonjolkan kebudayaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Antaranya, kaum Melayu mempersembahkan Seni Silat oleh Persatuan Seni Silat Saudara Kuala Kangsar dan pancaragam oleh pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Bagi kaum Cina pula, dipersembahkan pukulan Gendang 24 Musim, Tarian Naga dan Singa oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Kangsar.

Manakala bagi kaum India pula, dipersembahkan Tarian Kolattam oleh para pelajar SJK (T) Gandhi Memorial, Kuala Kangsar.

Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan menghadiri majlis santapan dan menyempurnakan upacara penyampaian hadiah.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.