Skip to main content

Atlet SUKMA XX MSN Dan Sukan Para Asean Terima Insentif Daripada Kerajaan Negeri.

Tetamu bergambar bersama

IPOH, 1 November 2022- Seramai 162 orang atlet, 62 orang jurulatih dan 21 orang pegawai pengurus menerima insentif berjumlah RM460,400 atas pencapaian pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, September yang lalu.

Insentif tersebut telah disampaikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Majlis Penyampaian Insentif kepada Atlet SUKMA XX, MSN dan Para Asean Negeri Perak Darul Ridzuan 2022 di Hotel Riverfront, petang tadi.

“Negeri Perak telah berjaya memperoleh 27 pingat emas, 28 pingat perak dan 46 pingat gangsa menjadikan keseluruhan berjumlah 101 pingat.

“Daripada 31 sukan yang disertai, 21 sukan telah menyumbangkan pingat dan 3 sukan iaitu Olahraga, Judo dan Muay Thai telah menyumbangkan 4 pingat emas menjadikan ia sebagai penyumbang utama,” jelasnya.

Kerajaan negeri telah mengkhususkan insentif bagi atlet yang berjaya mengharumkan nama Perak pada SUKMA, iaitu kategori individu pingat emas RM 5,000.

"Pingat perak RM3,000 dan gangsa RM1,000. Bagi kategori berpasukan pula pingat emas RM2,500, perak RM1,500 dan gangsa RM500,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif sebanyak RM19,600 kepada atlet, jurulatih dan pegawai pengurus yang telah mengharumkan nama negara dalam Sukan Para ASEAN (APG) Ke-11 yang berlangsung di Solo, Indonesia pada 30 Julai sehingga 6 Ogos 2022 yang lalu.

Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet berjaya mengumpul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa dan menduduki tangga keempat di carta pingat.

"Bagi atlet Para ASEAN pula, kategori individu pingat emas RM3,000, perak RM1,500 dan gangsa RM1,200.

"Bagi kategori berpasukan pula pingat emas RM2,000, perak RM1,200 dan gangsa RM1,000," tambahnya lagi.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Haji Mazlan Mohamad.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Wednesday 28 May 2025, 07:21:42.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.