Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Ke-66.

Ketibaan DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
KUALA KANGSAR, 4 November 2022 - Kira-kira 500 jemaah menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini, sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-66.
Berkenan berangkat ke majlis tersebut, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis yang berlangsung pada jam 12.30 tengah hari itu dimulakan dengan bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat yang diketuai oleh YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Hj. Wan Zahidi Wan Teh.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan khutbah yang bertajuk “Islam Meningkatkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu” serta solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam Utama Masjid Ubudiah, Ustaz Badrul Husaini Baharuddin.
Usai solat Jumaat, DYTM Raja Muda Perak dan DYAM Raja Dihilir Perak bersama dif-dif jemputan dijemput ke majlis santapan.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara); Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat itu turut berlangsung serentak di masjid-masjid seluruh negeri Perak yang diketuai oleh Orang Besar Jajahan serta pegawai daerah masing-masing.
Sumber : Korporat, SUK Perak.