Dilantik Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak Adalah Satu Penghormatan Yang Tinggi.

Para tetamu bergambar bersama
IPOH, 7 Disember 2022- Dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak adalah satu penghormatan yang tinggi kerana Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan sentiasa dipandang tinggi bukan sahaja di kalangan dewan negeri lain di Malaysia tetapi juga kepada legislatif dan bidang perundangan antarabangsa.
Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid berkata demikian ketika Sesi Ramah Mesra Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak Bersama Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, tengah hari ini.
Tambahnya lagi, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan acap kali mencatatkan beberapa sejarah sepanjang persidangan yang telah dijalankan.
“Dewan ini telah tercatat sejarah beberapa kali contohnya ketika berlakunya pertukaran jawatan YAB Menteri Besar Perak dan negeri Perak merupakan negeri pertama yang memperkenalkan konsep Gelembung Persidangan bagi Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas pada Ogos yang lalu sebagai langkah untuk meminimumkan risiko penularan wabak COVID-19,” jelasnya.
Beliau yang kekal sebagai Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak sejak tahun 2020 menyeru kepada semua ADUN untuk memegang tanggungjawab dan amanah memelihara dewan ini kerana ia juga menjadi rujukan kepada negara-negara yang mengamalkan perlembagaan undang-undang.
Pada masa yang sama, Ketua Unit Protokol dan Istiadat Negeri Perak, Encik Azahari Effendy Abd Rahim turut berpeluang mengadakan taklimat ringkas mengenai protokol dan istiadat negeri Perak kepada semua ADUN yang hadir.
Mengakhiri sesi, para tetamu dijemput untuk melawat ke Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan sebelum bermulanya Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan pada 19 Disember 2022 bagi pembentangan Bajet 2023.
Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun serta Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Encik Amir Fadli Mohamed Hilmi mewakili YBrs. Setiausaha Dewan Negeri, Encik Muhammad Nazri Abdullah.