Skip to main content

EAIC Sebagai Medium Pemantapan Integriti Dan Tingkatkan Akauntabiliti Institusi Penguatkuasaan Malaysia.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama Puan Norhayati Ahmad di majlis berkenaan.

IPOH, 8 Disember 2022- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima sebanyak 653 aduan dari seluruh rakyat Malaysia berkaitan dengan 21 agensi penguatkuasaan seliaannya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan Kementerian Kesihatan (Bahagian Penguatkuasa) mengenai penyalahgunaan kuasa dan salah laku penguatkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Puan Norhayati Ahmad berkata demikian ketika Majlis E.R.A.T Bersama Masyarakat Zon Utara di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi ini.

"Agensi Penguatkuasaan sering menerima aduan berkenaan ketidakpuasan hati terhadap prosedur dan perkhidmatan yang disediakan yang sering kali dikaitkan dengan ketidakcekapan serta salah laku. Justeru itu, melalui aduan tersebut, kelemahan dalam prosedur dan perkhidmatan dapat dikenal pasti dan diperbaiki.

“Ia bukanlah untuk mencari kesalahan atau membuka aib seseorang pegawai, sebaliknya, ia harus dilihat sebagai medium pemantapan integriti dan meningkatkan mutu akauntabiliti dalam institusi penguatkuasaan di negara ini,” jelasnya.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim turut berkata ia merupakan satu usaha murni oleh kerajaan ke arah mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap krebiliti institusi perkhidmatan awam.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mendokong penuh matlamat kempen ini, E.R.A.T iaitu Encouraging (menggalakkan), Responsibility (bertanggungjawab), Accountability (akauntabiliti) dan Trustworthy (kepercayaan) untuk memupuk peranan masyarakat sebagai mata dan telinga bagi mengekang isu-isu salah laku dan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, kempen ini berlangsung selama empat hari bermula 7 Disember sehingga 10 Disember 2022 di sekitar Perak bertujuan untuk mendekati masyarakat umum.

Antaranya di Kolej Poly-Tech Mara dan Heritage Lane pada 9 Disember 2022 kemudiannya ke Kompleks UTC Ipoh, Kompleks Gopeng dan Teluk Intan pada 10 Disember 2022. Orang ramai turut dijemput hadir ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai fungsi dan peranah EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin dan YBrs. Pengarah Operasi EAIC, Tuan Azizan Abdullah.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.