Skip to main content

Perak Sekali Lagi Berjaya Capai Sasaran 2 Juta Pokok Setahun.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim menyampaikan sebuah anak pokok kepada setiap pegawai daerah bagi menyokong kempen tersebut

IPOH, 12 Disember 2022- YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah merasmikan Program Penghijauan Malaysia: Majlis Penanaman Pokok Ke 2 Juta oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi ini.

Program tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri sekali lagi telah berjaya komited dalam menyahut cabaran penanaman 10 juta pokok bagi tempoh 5 tahun atau 2 juta pokok setahun sehingga 2025.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM48.8 juta pada tahun ini bagi menjayakan inisiatif GreenPrint Perak.

“Inisiatif Greenprint dirangka khusus untuk membangunkan pelan induk bagi memastikan pembangunan yang seimbang di negeri ini selari dengan Rancangan Struktur Negeri (RSN) iaitu menangani isu perubahan iklim melalui inisiatif penanaman pokok di seluruh negeri Perak.

“Agenda ‘Perak Bumi Lestari’ juga mampu menggerakkan pembangunan negeri secara lestari yang merangkumi tiga komponen 3E iaitu Environment (Alam Sekitar), Economic (Ekonomi) dan Equities (Ekuiti),” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau bersama tetamu yang lain turut menanam beberapa jenis pokok iaitu Pokok Merbau, Pokok Ipoh dan Pokok Pulai di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Para tetamu juga berpeluang membawa pulang Pokok Manggis seiring dengan Inisiatif ‘Seorang Rakyat, Sepohon Pokok’ yang boleh disesuaikan dengan konsep ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’ untuk memberi kesedaran kepada rakyat supaya lebih menyayangi hutan.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd. Ridza Awang dan YBhg. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin Yusop.

Sehingga kini, Perak telah berjaya menanam sebanyak 4,211,936 buah pokok bagi menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dari tahun 2021 sehingga 2025 dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.