Kerajaan Perak Kenal Pasti Kawasan Penempatan Semula Mangsa Banjir.

YAB Menteri Besar Perak Bergambar bersama pegawai yang hadir.
IPOH, 13 Disember 2022- Kerajaan Negeri Perak terus memberi fokus dalam hal berkaitan banjir apabila mengarahkan semua Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti kawasan sesuai bagi penempatan semula mangsa banjir di negeri ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan yang dikenal pasti itu mestilah mengambil kira beberapa faktor melibatkan keselamatan dan sosioekonomi penduduk yang akan dipindahkan.
“Sebelum mengenal pasti kawasan, beberapa faktor perlu diambil kira seperti kawasan yang ditempatkan itu mestilah kawasan sesuai yang lebih selamat daripada kawasan asal, yang kedua ia tidak jauh daripada tempat dia mencari rezeki.
“Oleh kerana perubahan cuaca banjir berlaku di banyak tempat berulang kali sehingga merosakkan kediaman masing-masing, jadi keperluan untuk mereka berpindah itu ada, tetapi perlu dalam keadaan yang sangat sesuai terutama sekali berkaitan dengan tempat dia mencari rezeki," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi wawancara 'Selamat Pagi Cikgu Saarani' di Perak FM, Jabatan Penyiaran Negeri Perak, di sini.
Ujar Dato' Seri Saarani Mohamad lagi, setakat ini hanya satu kawasan sudah dikenal pasti iaitu di Kampung Air Hitam di daerah Hilir Perak yang akan menempatkan 28 keluarga mangsa banjir di Jalan Changkat Jong.
"Peruntukan sebanyak RM3.94 juta diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pada 2020, tetapi tertangguh akibat wabak COVID-19.
"Sehubungan itu, LPHP akan memohon peruntukan tambahan kerana kos projek berkenaan sudah meningkat naik selepas berlaku kenaikan harga bagi bahan binaan," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, terdahulu Muallim menjadi daerah terbaharu di negeri Perak yang dilanda banjir ekoran hujan lebat pada petang semalam apabila Pusat Transit Kesihatan Daerah (PKD) Orang Asli di daerah itu dinaiki air.

Sumber : Korporat, SUK Perak.