Kerajaan Negeri Perak Zahir Dukacita, Ambil Iktibar Kejadian Tanah Runtuh Batang Kali.

Kerajaan Negeri Perak menzahirkan dukacita di atas kemalangan tanah runtuh di Batang Kali.
IPOH, 19 Disember 2022- Kerajaan Negeri Perak menzahirkan dukacita di atas kemalangan tanah runtuh di Batang Kali dan mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terlibat dan terkorban.
YB Pengerusi Jawatankuasa Insfastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan Negeri Perak berharap agar insiden tersebut menjadi iktibar agar tidak berlaku di negeri ini.
“Justeru itu, saya akan memantau keadaan semasa bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak agar kejadian di Batang Kali tidak berulang di negeri Perak.
“Sebagai makluman, terdapat 239 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi, 211 lokasi berisiko tinggi, 642 lokasi sederhana, 777 lokasi risiko rendah dan 1562 lokasi sangat rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bilik Sidang Media, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Ujar YB Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin lagi, terdapat tiga laluan yang sangat kritikal ketika ini iaitu Jalan Tapah - Cameron Highland (FT059), Jalan Baling – Grik (FT004) (Lebuhraya Timur – Barat) dan Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (FT185).
“Oleh itu, pihak JKR menasihati para pengguna jalan-jalan berikut agar lebih berhati-hati terutamanya pada musim hujan lebat kerana kita tidak ada keperluan untuk menutup jalan tersebut buat masa ini.
“Selain itu, pihak JKR telah memasang sensor dan tolok hujan di lokasi-lokasi cerun kritikal tersebut dan ianya dapat memberi amaran awal kepada JKR untuk melakukan tindakan pemantauan dan kecemasan,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, hasil pemantauan pihak JKR Perak, tiada lagi lokasi-lokasi yang berpotensi mengalami kejadian tanah runtuh dan Kerajaan Negeri Perak akan terus memberi fokus dalam meningkatkan tahap keselamatan di kawasan-kawasan berisiko.
Sumber : Korporat, SUK Perak.