Skip to main content

Perak Umum Belanjawan 2023 Berjumlah RM 1.19 Bilion.

YAB Menteri Besar Perak ketika mengumumkan Belanjawan 2023 Negeri Perak berjumlah rm 1.19 bilion.

IPOH, 22 Disember 2022- Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion merangkumi RM794 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM395 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan tersebut bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' yang merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Menurutnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 akan ditutup dengan jangkaan defisit RM30.0 juta.

Selain itu, Belanjawan 2023 Negeri Perak menyaksikan pertambahan peruntukan bagi tujuan pembangunan iaitu sebanyak RM93 juta berbanding tahun lalu, di mana ia akan disalurkan melalui program-program kesejahteraan rakyat.

"Peningkatan ini disebabkan kita mengambil kira keperluan   yang perlu dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Perak.

"Peningkatan ini disebabkan komitmen bagi projek fizikal merangkumi pembinaan, pembaikan dan kerja naik taraf pelbagai infrastruktur dan fasiliti serta program kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pembentangan Belanjawan 2023 Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri Perak, di sini.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani Mohamad lagi, disebabkan ketidaktentuan  iklim ekonomi yang menyelubungi rakyat, kita telah merangka pelbagai jenis program dan projek yang berlandaskan pencapaian kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan peruntukan berjumlah RM373.8 juta.

Menurutnya lagi, demi membela kepentingan golongan sasar B40 yang terhimpit ekonomi, kerajaan negeri telah meningkatkan dana bagi pelaksanaan Program Kad Perak Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Program Kad Perak Prihatin kepada RM25.2 juta dengan peningkatan RM2.4 juta berbanding tahun lalu.

"Kadar Bantuan Kad Makanan telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 sebulan bagi setiap penerima, manakala Kad Kesihatan kekal dengan kadar RM150 setahun dengan memberi manfaat kepada 20,000 penerima.

"Selain itu, kita tidak melupakan kepentingan ilmu pengetahuan dalam meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, agenda pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dengan penyediaan peruntukan RM21.4 juta bagi tujuan bantuan pendidikan dipelbagai peringkat pembelajaran.

"Begitu juga dengan penaiktarafan dan penambahbaikan kemudahan prasarana yang menjadi satu fokus utama pembangunan negeri pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM257.5 juta bagi tujuan tadbir urus projek berkepentingan negeri," jelasnya.

Ujar beliau lagi, memberi fokus kepada aspek kelestarian alam sekitar bagi pelaksanaan pembangunan lestari dan teknologi hijau seiring dengan agenda di peringkat nasional dan global, sebanyak RM162.6 juta akan dibelanjakan

Begitu juga dengan pembangunan sektor pertanian, sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dalam memenuhi permintaan dan keperluan penduduk secara konsisten, mampu diperolehi, berkhasiat dan berkualiti.

"Tidak terlepas daripada fokus utama, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM21.6 juta bagi Pembangunan Modal Insan dan Belia bagi pelaksanaan program berteraskan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berasaskan teknologi dan inovasi," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, melalui belanjawan tersebut, kerajaan negeri telah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.