Belanjawan Negeri Perak 2023 Lulus.

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan terakhir perbahasan Belanjawan Perak 2023 sebelum ia diluluskan.
IPOH, 28 Disember 2022- Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion secara sebulat suara ketika Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 itu mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua Ahli Dewan Negeri yang hadir.
Hari ini, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan terakhir perbahasan Belanjawan Perak 2023 sebelum ia diluluskan.
Beliau berkata Belanjawan Perak 2023 sangat penting bagi menentukan tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengharungi gelora ketidaktentuan ekonomi di peringkat nasional dan global.
"Ia juga akan menjadi indikasi keupayaan kita mencipta momentum bagi menjayakan segala perancangan yang termaktub dalam pelan Perak Sejahtera 2030," katanya.
Beliau menjelaskan, pelan Perak Sejahtera 2030 diilhamkan dan dibentuk untuk mencapai tiga sasaran utama iaitu sejahtera sosial, sejahtera ekonomi dan sejahtera politik.
Tambahnya, perkara itu termasuklah memberi keadilan kepada rakyat untuk mendapat peluang serta kemudahan pendidikan, pekerjaan, perumahan dan keselamatan.
"Strategi, flagship, program dan inisiatif yang diformulasikan dalam pelan ini memastikan keterangkuman pelbagai komposisi kaum dan taraf sosioekonomi.
"Selain pengagihan pembangunan bersasar yang seimbang di seluruh negeri menerusi penjenamaan dan pengkhususan daerah," katanya.
Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid mengumumkan Belanjawan Perak 2023 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga selepas Ahli Dewan Negeri menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.
Pada masa yang sama, Belanjawan Negeri Perak 2023 yang dibentangkan pada 22 Disember lalu menyaksikan bajet dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.
Belanja pembangunan tersebut telah ditingkatkan sebanyak 30.8 peratus kepada RM395 juta berbanding RM302 juta pada tahun 2022.
Sumber : Korporat, SUK Perak.