Dewan Negeri Perak Meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti.
YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat dan RUU tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Negeri Perak yang hadir.
IPOH, 29 Disember 2022- Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan pindaan Rang Undang- Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.
Usul bagi pindaan tersebut telah dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan disokong oleh Ahli Dewan Negeri Perak Pengkalan Baharu, YB Encik Azman Noh ketika Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kemudiannya, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat dan RUU tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Negeri Perak yang hadir.
Ketika sesi penggulungan, beliau berkata anti lompat parti ini akan menguatkan semula kepercayaan rakyat terhadap amalan demokrasi.
“Dalam erti kata lain, ia dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya selain meningkatkan integriti wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasannya.
“Keputusan kita semua pada hari ini bukan sahaja akan melakar sejarah baharu, tetapi merupakan permulaan kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh demi mengukuhkan demokrasi negara,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Dewan Negeri ini perlu mengikuti keperluan undang-undang berkenaan tatacara pindaan kepada Akta A1663.
Antara keperluannya adalah undang-undang ini baru sahaja dikuatkuasakan di peringkat kerajaan pusat pada 5 Oktober yang lalu dan proses seterusnya adalah mendapatkan perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi membolehkan RUU itu diguna pakai dan diwartakan.
Persidangan ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.