Skip to main content

Atlet Para SUKMA Perak Terima Insentif Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan.

IPOH, 5 Januari 2023- Seramai 39 orang atlet Perak yang merekodkan pencapaian cemerlang sewaktu Kejohanan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur pada November lalu menerima insentif daripada kerajaan negeri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, insentif tersebut diberikan kepada atlet yang telah meraih pingat sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada seluruh kontinjen.

“Seperti dijanjikan, setiap pingat yang dimenangi akan diberikan insentif berjumlah RM5,000 bagi atlet memenangi pingat emas acara individu; RM3,000 bagi pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa. Selain itu, insentif ini juga melibatkan lima rekod baharu Para SUKMA yang berjaya dipecahkan daripada sukan olahraga.

“Lebih membanggakan, Anugerah Olahragawati Para SUKMA telah berjaya diraih oleh atlet memanah para negeri Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil yang telah mencipta sejarah dengan beraksi cemerlang bagi memenangi tiga pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan insentif kepada Kontinjen Para SUKMA di MH Hotel, di sini.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin Abu Hanipah; YBrs. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Encik Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Tuan Haji Mazlan Mohamad.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, jasa bakti barisan jurulatih dan pengurus pasukan juga tidak dilupakan apabila mereka turut menerima insentif sebanyak RM18,500 atas komitmen dan usaha yang telah disumbangkan.

“Kejayaan ini amat membanggakan kita sebagai rakyat negeri Perak dan sudah pasti akan menjadi aspirasi kepada anak-anak muda.

“Besar harapan saya untuk melihat kejayaan demi kejayaan agar dapat terus diukir oleh atlet-atlet negeri Perak kerana bagi saya tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita berusaha dengan gigih dan bersatu padu dalam memberi sokongan kepada atlet kita,”ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, pada penganjuran temasya itu, Kontinjen Para SUKMA Perak berjaya membawa pulang 29 pingat emas, 21 Perak dan 18 gangsa menerusi sembilan acara sukan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.