Skip to main content

Kerajaan Negeri Sasar 40,000 Orang Meriahkan Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina Di Taman Tema Lost World Of Tambun.

Beliau nasihatkan para pengunjung untuk patuhi arahan penganjur supaya majlis tersebut berjalan dengan lancar.

IPOH, 18 Januari 2023- Kerajaan Negeri Perak sasar 40,000 orang tetamu akan hadir ke rumah terbuka sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) pada 29 Januari ini.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee berkata demikian ketika sesi sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, petang ini.

Menurutnya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut yang akan bermula dari jam 2.00 petang sehingga 5.00 petang.

Turut dijangka hadir adalah YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat bagi menerapkan semangat muhibah tidak kira kaum dan bersama-sama meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Lokasi ini menjadi pilihan kerana ia adalah salah satu ikon pelancongan di Perak seiring dengan Tahun Melawat Ipoh 2023.

“Sebagai salah satu ikon pelancongan, kita percaya ramai orang teringin untuk merasai keseronokan di LWOT tetapi tidak berkesempatan, jadi, kita mengambil peluang sempena cuti Tahun Baharu Cina ini untuk masuk ke LWOT secara percuma dan memeriahkan aktiviti yang telah disediakan kepada para pengunjung,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan para pengunjung untuk patuhi arahan penganjur supaya majlis sambutan tersebut dapat berjalan dengan lancar.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.