Skip to main content

Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Peringkat Negeri Perak 2023.

YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam bergambar bersama pegawai-pegawai daerah selepas menyerahkan bahan Kempen Keselamatan Jalan Raya.

GOPENG, 19 Januari 2023- Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perak bersama-sama jabatan dan agensi telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya serta Ops Bersepadu Peringkat Negeri Perak bersempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2023 yang akan disambut pada 22 dan 23 Januari nanti.

YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dengan mengekalkan tema yang sama iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, kempen dan Ops Bersepadu tersebut akan bermula pada 18 hingga 28 Januari ini.

“Ini akan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan yang berpaksikan empat teras utama iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.

“Kempen seperti ini merupakan satu usaha berterusan kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya serta mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya pada musim perayaan,” katanya.

Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Besepadu Sempena Tahun Baru Cina 2023 di Rehat dan Rawat (R&R) RTC Gopeng, di sini.

Hadir sama, YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Mohd Yusri Haji Hassan Basri; YBrs. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Tuan Mohammad Yusoff Abustan serta YBrs. Pengarah Wilayah Utara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Puan Azleen Jaludin.

Ujar Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin lagi, kempen dan ops yang dilaksanakan itu jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan amat serius dalam mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030 berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 (31 Ogos 2020) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Majlis pada hari ini merupakan hasil kerjasama bersama antara kerajaan negeri dan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat persekutuan mahupun negeri, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Angkatan Pertahanan Awam (APM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta PLUS Expressways Berhad.

“Selain itu, semua pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui semua jalan raya dan plaza tol bagi memastikan kelancaran trafik serta rancang perjalanan anda mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang akan dikeluarkan oleh syarikat-syarikat konsesi dalam masa terdekat," ujarnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.