Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Negeri Perak.

Baginda berdua berkenan menyampaikan angpau kepada  anak yatim.

IPOH, 29 Januari 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT), petang ini.

Berangkat sama, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, YBhg. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri DiRaja Dr Ahmad Zahid Hamidi; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara) bersama isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Mohd Noor.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama isterinya, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid bersama isterinya, Datin Aznee Abu Samah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu meriah dengan kehadiran lebih 40,000 pengunjung dari serata Perak.

Sempena sambutan itu, pengunjung berpeluang memasuki taman tema berkenaan secara percuma, bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama kini dapat merasai semula kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina selepas tiga tahun ia disambut dalam suasana suram berikutan pandemik COVID-19.

“Tahun ini, sambutannya menggamit kembali tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.

“Kehadiran tahun arnab yang dikaitkan dengan kepintaran, kecerdasan dan ketenangan, bukan sahaja menjadi citra semangat perpaduan rakyat berbilang kaum, malah menjadi simbol kesatuan kita untuk bangkit membina semula negeri dan negara daripada hambatan pandemik,” katanya.

Beliau berkata, semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia menjadi kunci kepada kelangsungan negara tatkala berhadapan wabak berbahaya berkenaan.

Namun, beliau berkata, banyak petanda yang membayangkan tahun 2023 akan sarat dengan ujian dan rintangan, terutamanya prospek ekonomi global yang dijangka mengalami kemelesetan, sekali gus mencetuskan segala macam ketidakpastian.

Tambahnya lagi, cabaran itu menuntut kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan untuk terus berganding bahu memastikan negara sentiasa berada pada paksi kestabilan.

“Seterusnya, tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada usaha memulihkan semula ekonomi serta mencipta dasar yang mampu membimbing rakyat mengharungi getirnya cabaran mendatang,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan negeri akan menjadikan segala titah Sultan Perak sebagai pedoman untuk mentadbir negeri.

“Berkat mutiara pemikiran dan nukilan titah Ke Bawah Duli Tuanku yang tidak pernah jemu menyentuh dhamir rakyat tanpa mengira latar belakang, akan menjadi suluhan pedoman kepada patik dan seluruh jentera pentadbiran dalam melata usaha serta ikhtiar memakmur dan mensejahterakan bumi bertuah Perak.

“Pelan Perak Sejahtera 2030 serta digarap bersama gagasan Membangun Malaysia Madani, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, mudah-mudahan negeri Perak khususnya dan negara Malaysia amnya, akan sentiasa disirami rahmat keamanan dan dilimpahi nikmat kemajuan,” katanya.

Pada sambutan itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak turut berkenan menggaul 'yee sang' sebagai simbolik sambutan perayaan berkenaan sebelum menyampaikan angpau kepada anak yatim.

Angpau disampaikan kepada 66 orang anak yatim dari tiga rumah anak yatim di Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.

Tetamu juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian singa, tarian naga dan pukulan gendang.

Majlis santapan kemudiannya diiringi persembahan tarian daripada Kumpulan Selendang Perak, Pertubuhan kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.