Skip to main content

Majlis Amanat Dan Apresiasi Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Pasukan eSport SUK Perak antara penerima insentif di majlis tersebut.

IPOH, 31 Januari 2023 - Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak diseru untuk sentiasa cakna dengan dasar-dasar oleh kerajaan dan kerajaan persekutuan bagi memastikan ianya dilaksanakan sebaiknya.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, kesemua penjawat awam perlu memberi perhatian kepada teras kedua berdasarkan lima fokus yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 iaitu memantapkan sinergi dalam sistem penyampaian.

"Kita perlu mengambil tanggungjawab bersama untuk menjadi agen perubahan dan memperkemaskan kecekapan tadbir urus di organisasi agar perkhidmatan awam kekal dinamik dan diperkasakan sepanjang masa.

"Sinergi kerjasama yang telah wujud di antara organisasi perlu sentiasa ditambah baik untuk mencapai matlamat utama perkhidmatan awam terutamanya dalam menyantuni rakyat dan memakmurkan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat dan Apresiasi Bersama Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2023.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Dato' Norsham Rahman serta YBrs.Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah Sipun.

Ujar YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim lagi, penganugerahan dan kejayaan yang dimiliki oleh negeri Perak merupakan hasil keringat warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh penjawat awam di negeri ini.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kejayaan negeri Perak bagi tahun 2022.

"Saya yakin kita mampu untuk mencipta lebih kejayaan demi pembangunan dan kesejahteraan negeri Perak," katanya.

Pada majlis itu juga, YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkesempatan untuk menyampaikan insentif kepada kontinjen SUK Perak yang telah mencatat kejayaan pada Sukan SUK SeMalaysia 2022.

Antara yang menerima insentif adalah Pasukan Esports, bola sepak, sepak takraw dan bola jaring.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.