Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Penutup Tilawah, Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan dan Permaisuri berkenan melawat booth pameran yang diadakan.

IPOH, 28 Februari 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup serta Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perak yang berlangsung dua hari, bermula Isnin di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Harith Fadzillah Abdul Halim.

Mohd Kamaruzaman Daud muncul johan qari manakala Nurul Syafiqah Nardi pula johan qariah dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, replika ukuran cupak Nabi SAW berserta pakej menunaikan haji, hadiah iringan dan sijil.

Bagi naib johan qari pula, dimenangi oleh Mohd Sahran Termizi dan Mohd Ashaari Lemaan di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Norhazira Nabila Mohammad Kamel dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid di tempat ketiga.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan.

Bagi hafazan pula, Muhammad Adib Ahmad Rozaini muncul johan qari bagi kategori 1-30 juzuk manakala qariah hafazan pula dimenangi oleh Aqilah Sulhi Ahmad Rozani dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, replika ukuran cupak Nabi SAW berserta pakej menunaikan haji, hadiah iringan dan sijil.

Dalam perkembangan sama, pemenang pertandingan tilawah dan hafazan kali ini akan mewakili negeri Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Arena Butterworth, Pulau Pinang pada Jun depan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.