Skip to main content

Tadbir Urus, Integriti Elemen Penting Kesejahteraan Negara.

YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023.

IPOH, 12 Mac 2023- Kecekapan tadbir urus dan nilai integriti yang tinggi dalam pentadbiran sesuatu organisasi atau kerajaan merupakan elemen penting dalam mencapai kesejahteraan negara.

YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed berkata, tadbir urus yang baik merupakan cara pengurusan yang memberikan tumpuan kepada prinsip-prinsip utama seperti ketelusan, akauntabiliti, keadilan dan efisien ketika menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selain tadbir urus yang cekap, integriti juga menjadi perkara penting kerana kualiti moral dan etika setiap individu dalam memastikan ketulenan serta kejujuran dalam semua aspek kehidupan akan diterjemahkan dalam pentadbiran organisasi atau kerajaan.

“Keberhasilannya, ia akan mewujudkan proses pengurusan yang cekap dan efektif serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan atau sesuatu organisasi itu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau yang mewakili YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 yang bertemakan “Perbandaran MADANI- Rakyat Sejahtera” di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin selaku Host City Konvensyen PBT 2023.

Ujar YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed lagi, integriti menuntut kewajaran dan kejujuran dalam segala tindakan serta keputusan yang dibuat oleh pentadbir atau pemimpin dalam mengelakkan amalan rasuah dan nepotisme yang boleh merosakkan imej kerajaan atau organisasi awam.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang baik dan integriti yang kukuh, kerajaan atau organisasi awam perlu mempunyai tadbir urus yang kuat serta berkesan dalam pengurusan sumber manusia, sistem perakaunan dan kewangan, serta sistem pelaporan dan penilaian prestasi yang jelas.

“Oleh itu, kerajaan dan organisasi awam perlu melaksanakan program-program pembangunan integriti yang melibatkan semua anggota organisasi dan meningkatkan kesedaran tentang tadbir urus dan integriti dalam semua lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, konvensyen yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mac 2023 ini adalah anjuran KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini bertujuan untuk memperkukuh dan memperkasa peranan PBT disamping memberikan peluang kepada ahli majlis untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik dan progresif.

Bersempena dengan majlis ini juga turut diadakan sesi penyampaian anugerah kepada tiga pemenang utama dalam Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala YB Menteri KPKT sebagai pengiktirafan kepada PBT yang telah mempamerkan tahap tinggi dalam aspek inovasi.

Selain itu, pengiktirafan turut diberikan kepada sepuluh (10) PBT yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam penilaian Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) yang dilaksanakan pada tahun 2022 melibatkan 153 PBT di seluruh Malaysia.

Bagi kategori Anugerah Inovasi MALA 2.0 telah dimenangi oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan diikuti oleh Majlis Daerah Marang (MDM) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di tempat kedua dan ketiga.

Manakala bagi Anugerah SPB-PBT Kategori Bandaraya berjaya dirangkul oleh Majlis Bandaraya (MBPJ) Petaling Jaya dan diikuti oleh MBI bagi tempat kedua.

Bagi kategori Perbandaran dan Daerah berjaya dimenangi oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di tempat pertama diikuti oleh Perbadanan Putrajaya serta Majlis Daerah Kampar (MDKpr).

Kesemua anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming ketika majlis penutup pada sebelah petang.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 02 May 2025, 00:51:03.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.