Skip to main content

Atlet Perak Perlu Mempunyai Minat, Daya Usaha, Kesungguhan Dan Dedikasi Yang Mendalam.

Seorang pemain terpaksa menerima rawatan selepas mengalami kecederaan kecil ketika perlawanan

LENGGONG, 12 Mac 2023- Setiap atlet di negeri Perak ini perlu mempunyai minat, daya usaha, kesungguhan dan dedikasi yang mendalam untuk mengejar kejayaan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Kombat (Sukan Muay Thai) 2023 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Perak di Dewan Merdeka, petang tadi.

“Saya selalu berpesan kepada anak-anak muda dan para atlet, ciri pertama yang perlu kita ada untuk mencapai kejayaan adalah minat yang mendalam. Kalau tak minat, susah nak paksa diri untuk masuk ke gelanggang.

“Kemudiannya, disebabkan minat, kita akan berusaha mencari ilmu. Mencari jurulatih atau guru yang akan melatih diri kita untuk menjadi orang yang berdisiplin demi mencapai matlamat.

“Keduanya, adalah kesungguhan, daya usaha serta dedikasi. Apabila kita mempunyai tujuan dan destinasi, itulah yang akan membakar semangat kita untuk terus bangun dan tidak berputus asa,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan sentiasa komited untuk melatih bakat anak-anak muda supaya sukan di Perak ini dapat dijadikan sebagai mercu tanda.

“Sebentar tadi, kita dapat lihat aksi perlawanan atlet Muay Thai yang akan mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) serta atlet yang sedang kita gilapkan bakatnya.

“Saya juga difahamkan atlet ini bukan hanya bertanding di Malaysia sahaja tetapi juga di luar negara seperti Thailand dan Cambodia.

“Ini membuktikan kesungguhan mereka untuk mengekalkan prestasi sekali gus mengharumkan nama baik negeri kita dalam sukan ini,” katanya.

Karnival Sukan Kombat ini berlangsung selama 2 hari bermula 11 Mac sehingga 12 Mac 2023 dengan penglibatan 53 orang peserta dari 6 negeri iaitu Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Haji Mazlan Mohamad; Setiausaha Politik Pejabat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Encik Mohamad Hamidi Baharuddin; Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, DSP Mohd Rahimi Haji Zainol; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Khairol Kamis dan Presiden Muay Thai Perak, Bernard Radin.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.