Skip to main content

YAB Menteri Besar Perak Lancar Rangkaian Stamping Baharu Oleh Proton.

Antara warga kerja Proton Holdings Bhd (Proton) yang bertugas untuk menjayakan rangkaian stamping baharu ini 

TANJUNG MALIM, 14 Mac 2023- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad menyempurnakan pelancaran rangkaian stamping baharu yang terbesar di Malaysia bernilai RM140 juta semasa lawatan rasmi beliau ke Kilang Proton, Automotive Hi-Tech Valley, pagi tadi.

Rangkaian baharu oleh Proton Holdings Bhd (Proton) itu mampu menghasilkan 50 komponen unik menggunakan kuasa sehingga 2,500 tan dan berpotensi mengurangkan pengimportan komponen tahunan syarikat sebanyak 115,000 unit.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Roslan Abdullah memaklumkan kerja-kerja pembinaan rangkaian stamping baharu PROTON bermula pada awal bulan April 2021 dengan pemasangan jentera bermula pada bulan Julai 2022 dan siap sepenuhnya menjelang Disember.

Terdapat lima mesin stamping dengan satu mesin mampu menggunakan daya 2,500 tan dan dua mesin setiap satu dengan daya tekanan masing-masing 1,200 tan dan 1,000 tan.

Tambahnya, barisan baharu itu mampu menghasilkan sehingga 50 komponen unik, meningkatkan kandungan tempatan untuk model SUV Proton kerana barangan seperti panel badan kini boleh dihasilkan di Tanjung Malim.

Dalam perkembangan sama, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut merasmikan model terbaharu Proton dalam majlis upacara line-off.

“Berkembangnya Proton, ia juga membawa kemakmuran bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga rakyat khususnya di Tanjung Malim ini.

“Saya berharap kerjasama erat kerajaan negeri bersama DRB-HICOM dan Proton akan dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat tempatan, seiring dengan kemajuan rangkaian dan model baharu ini,” jelasnya.

Penampilan pertama model yang masih belum dinamakan itu diadakan secara terbuka dan ia merupakan SUV ketiga dalam rangkaian Proton selepas X70 dan X50.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YBhg. Datuk Hisham Ishak; Pengarah Urusan Kumpulan, YBhg. Dato’ Sri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Roslan Abdullah.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.