Skip to main content

Dewan Negeri Perak Lulus RUU Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

YAB Menteri Besar Perak berucap semasa Sidang DUN  Negeri Perak.

IPOH, 25 Mei 2023 - Dewan Negeri Perak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dengan memperkemaskan kehendak pematuhan standard amalan perladangan unggas oleh pemegang lesen seperti menaikkan jumlah penalti dan pembatalan lesen kepada penternak yang gagal mematuhi undang-undang.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid selepas RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju tanpa pindaan terhadap fasal-fasal pindaan yang dicadangkan.

Terdahulu, sebelum RUU tersebut diluluskan, seramai 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut iaitu sembilan dari pihak kerajaan dan 13 mewakili pembangkang.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Mohd Zolkafly Harun ketika sesi penggulungan RUU tersebut berkata, proses peralihan kaedah penternakan unggas secara konvensional iaitu sistem reban terbuka kepada sistem reban tertutup dijangka dilaksana sepenuhnya menjelang 9 Dis 2025.

“Sehingga kini, sebanyak 39 peratus iaitu 203 ladang daripada 516 ladang yang dilesenkan telah pun beralih kepada sistem reban tertutup.

“Selain itu, RUU Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 hanya dikuatkuasakan di dalam kawasan ladang ternakan unggas dan tidak meliputi luar kawasan operasi ladang,” katanya.

Ujar YB Dato’ Mohd Zolkafly Harun lagi, jika terdapat kacau ganggu di luar kawasan seperti penempatan awam dan pelancongan, pihak berkuasa veterinar akan menjalankan siasatan mengenal pasti punca atau sumber kehadiran lalat dari ladang-ladang ternakan unggas yang berhampiran.

“Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) juga telah mewujudkan pasukan petugas untuk mengambil tindakan terhadap aduan dan pelanggaran kesalahan berulang yang dilakukan oleh pengusaha ladang unggas.

"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat bukti bahawa ladang terbabit melanggar peraturan enakmen dengan membenarkan pembiakan lalat berlaku di ladang unggas.

“Selain itu, kompaun, denda serta pembatalan lesen dan penutupan ladang boleh dikenakan terhadap lading yang terlibat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 itu akan memastikan kawal selia perladangan unggas di negeri Perak sentiasa berada pada tahap yang lebih terbaik dan seiring dengan keperluan terkini operasi ladang bagi menjayakan dasar keterjaminan makanan di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.