Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berangkat Ke Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat.

Baginda turut berkenan menganugerahkan kartunis terulung negara Lat atau nama sebenarnya YBhg. Dato’ Mohd Nor Bin Khalid sebagai Seniman Diraja.

BATU GAJAH, 8 Julai 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli merasmikan Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, Batu Gajah.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin dan isteri YBhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah Binti Mohd Nor; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri Perak dan isteri YBhg. Datin Che Fauziah Binti Ahmad; YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain; YBhg. Dato’ Mohd Nor Bin Khalid yang lebih dikenali sebagai LAT dan isteri, YBhg. Datin Faezah Binti Ahmad Zanzali dan Ahli Barisan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Galeri yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.0412 hektar itu menempatkan kesemua hasil karya seni yang dihasilkan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai ‘Datuk Lat’ pada sepanjang tempoh kariernya sejak dari tahun 1962.

Antara yang dipamerkan ialah hasil-hasil lukisan dan tulisan Lat serta sebuah sebuah replika rumah kayu tradisional Perak yang menempatkan barang-barang peribadi termasuk koleksi keluarganya.

Menariknya, replika rumah kayu tradisional itu dibina berdasarkan kepada rumah dalam komik dan animasi popular Datuk Lat iaitu ‘Kampung Boy’.

Baginda turut berkenan menganugerahkan kartunis terulung negara Lat atau nama sebenarnya YBhg. Dato’ Mohd Nor Bin Khalid sebagai Seniman Diraja.

Baginda bertitah anugerah itu sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.