Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Rasmi Prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkongsi mengenai Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bakal mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai.

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2023- Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak Management Berhad dan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan Majlis Perasmian Prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).

Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad di NU Sentral, petang ini.

Dalam ucapannya, beliau berkongsi mengenai Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bakal mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai.

"Ia sebuah projek lebuh raya sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor dan Taiping Selatan, Perak yang sudah berada di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"WCE melibatkan persimpangan susur keluar terakhir iaitu Taiping Selatan, bersambung secara terus dengan susur keluar persimpangan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Changkat Jering.

"Bermula dari Hutan Melintang, laluan lebuhraya ini akan membawa pelancong menelusuri negeri Perak melalui beberapa persimpangan susur keluar iaitu Teluk Intan yang terkenal dengan Menara Condong; Lekir dan Sitiawan yang menjadi pintu masuk ke Pulau Pangkor.

"Susur keluar Changkat Chermin dan Beruas pula akan membawa pelancong meneroka keunikan daerah Perak Tengah dan menulusuri sejarah kerajaan lama Gangga Negara. Laluan ini seterusnya membawa kita ke Trong dan Taiping Selatan iaitu laluan masuk ke Bandar Warisan Taiping yang menjadi antara tarikan utama pelancongan.

"Selain WCE, saya juga difahamkan perkhidmatan komuter dari Bukit Mertajam dan Padang Rengas akan dipanjangkan laluan sehingga ke Ipoh bermula September 2023," jelasnya ketika berucap di majlis perasmian berkenaan.

Tourism Perak Management Berhad turut menganjurkan Perak Travel Fair 2.0 selama tiga hari bermula 14 Julai sehingga 16 Julai 2023 bermula jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, di sini.

Selain itu, sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Travel Agents Association (MATTA) Cawangan Perak dan Thai Travel Agents Association (TTAA) telah berlangsung untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dan tarikan pelancong.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; YB Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Puan Nurmalis binti Musa.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.