YAB TPM Lancar Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

YB Menteri Komunikasi dan Digital ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 16 Julai 2023- Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 berlangsung hari ini dalam suasana penuh patriotik sebagai simbolik bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Pelancaran yang disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof yang mewakili YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim itu diadakan buat julung kalinya di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Menteri Komunikasi dan Digital, Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil; YB Menteri-menteri kabinet; YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki bin Ali; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohd Zahir bin Mohd Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Terdahulu, seawal jam 6 pagi tadi, ribuan peserta mula memenuhi Bulatan Sultan Azlan Shah bagi menyertai program 6,600 Langkah Perpaduan yang dirasmikan pelepasannya oleh YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Selesai program tersebut kira-kira jam 10 pagi, acara diteruskan lagi di pentas utama dengan bacaan doa diikuti oleh ucapan oleh YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan disusuli ucapan YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian serta nyanyian dan diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diiringi nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.
YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof kemudian berkesempatan untuk melepaskan konvoi Kembara Merdeka dan Jalur Gemilang 2023 yang akan menjelajah seluruh pelosok negara sempena menyambut bulan kemerdekaan.
Sempena majlis tersebut juga, turut diadakan Karnival Kita MADANI dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu Jualan Rahmah, diskaun bagi saman polis terpilih, pertandingan bintang patriotik, kuiz, persembahan artis dan banyak lagi.
Dalam perkembangan sama, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept berlangsung di Kuching, Sarawak.